Radio
THR Gegar

Sinar FM

Hitz FM

Era FM

Hot FM

Mix FM

Lite FM


Kelantan Berpesta Gol (5-0)

Kota Bharu: Kelantan menerajui Kumpulan G selepas berpesta gol ketika membenam SHB Da Nang dari Vietnam 5-0 dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan The Red Warriors mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak musim lalu selain meleburkan SHB Da Nang yang tidak pernah tewas selepas tiga perlawanan sejak saingan AFC bermula.


Seawal minit pertama, pertahanan tuan rumah sudah diuji menerusi rembatan penyerang import SHB Da Nang, Merlo Sebastian Gaston selepas menerima lorongan Giang Tran Quach Tan namun ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menyelamat keadaan.




Tersentak asakan awal pelawat, anak didik skuad kendalian Bojan Hodak mula mengatur gerakan pada minit kedua menerusi penyerang import bertubuh sasa, Dickson Nwakaeme yang melakukan hantaran lintang sebelum pemain veteran, Indraputra Mahayuddin melakukan rembatan namun melepasi palang gol.


Dua minit berselang, Nwakaeme membuka tirai jaringan menerusi percubaan luar kotak penalti selepas menerima hantaran pemain sayap, Mohd Faiz Subri yang mempamer kelincahan melepasi tiga pemain lawan.


Minit keenam, Indraputra terus menjarakkan kedudukan apabila menghasilkan jaringan kedua selepas menerima umpanan cantik bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos sekali gus menewaskan penjaga gol, Nguyen Thanh Binh.



NWAKAEME (kiri) jaring gol pertama Kelantan.

Ketinggalan dua gol menyaksikan pasukan pelawat yang dikendalikan Le Huynh Duc buntu melakukan gerakan sebaliknya Kelantan terus menguasai perlawanan. Minit ke-15 Nwakaeme sekali lagi melakukan percubaan namun ditepis penjaga gol.


Kelincahan Mohd Faiz terus menjadi perhatian kira-kira 10,000 penyokong, malah usahanya berjaya menghasilkan jaringan ketiga pada minit ke-23 selepas menerima umpanan Nwakaeme sekali gus terus mengukuhkan kedudukan.



Pelawat yang ketinggalan 0-3 memaksa melakukan perubahan apabila menukar tiga pemainnya meskipun belum berakhir babak pertama.


Peluang terbaik SHB Da Nang hadir pada minit ke-44 namun percubaan Vo Hoang Quang sedikit tersasar meskipun Khairul Fahmi sudah tertewas. Keputusan 3-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.


Bermula babak kedua, Kelantan terus garang malah Nwakaeme terus mempamer kehebatan dengan merembat kencang dari kotak penalti pada minit ke-47 namun sekadar melepasi palang gol.


SHB Da Nang terus derita apabila Petratos menghadiahkan jaringan keempat Kelantan pada minit ke-58 selepas menerima hantaran lintang Mohd Faiz.


Kelantan berpeluang menghasilkan gol kelima menerusi sepakan penalti selepas Nwakaeme dikasari penjaga gawang pada minit ke 69. Namun sepakan penalti Mohd Shahir Shaari tersasar ke kanan gawang meskipun penjaga gol sudah tidak dapat membaca arah sepakan berkenaan.


Minit ke-83 penyerang berbahaya, Nwakaeme digantikan dengan Zairo Anuar Zailani. Penyokong Kelantan terus berpesta apabila kapten, Mohd Badri Radzi menjaringkan gol kelima pada minit ke-85 dengan melakukan percubaan dari luar kotak penalti selepas penjaga gawang lawan keluar dari kawasannya untuk menyelamatkan serangan Petratos.


Dua minit masa tambahan tidak cukup untuk SBH Da nang mencari gol sagu hati yang menyaksikan keputusan 5-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.


0 comments:

Post a Comment

 
My Ping in TotalPing.com Blogged.my Preview on Feedage: cerkampung

Archive

Labels

Penafian

Sebarang informasi yang terdapat dalam blog ini diambil dari pelbagai sumber dan tidak semestinya benar. Anda dinasihatkan untuk membuat pertimbangan yang rasional terhadap maklumat-maklumat yang diberikan. Semua tulisan, pendapat, video, foto yang terdapat dalam blog ini adalah milik asal penulis yang diambil dari pelbagai sumber dalam internet melainkan dinyatakan sebaliknya. Admin tidak bertanggungjawab ke atas segala kerosakan atau kerugian yang disebabkan maklumat yang terdapat dalam blog ini.