Kuala Lumpur: Perhimpunan pakatan pembangkang di Padang Merbok
di sini, semalam, dicemari insiden kekasaran apabila dua penguat kuasa
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang sekumpulan peserta. Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, dua penguat kuasa DBKL itu
diserang selepas mereka menghalang sekumpulan peserta memasang khemah
di padang berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, anggota penguat kuasa DBKL itu cuba melarang sekumpulan peserta perhimpunan haram itu mendirikan khemah di kawasan padang berkenaan.
“Kakitangan DBKL itu dipukul sekumpulan peserta perhimpunan sebelum
dibawa masuk ke sebuah van bagi melindungi keselamatan mereka,” katanya
memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan.
Pemerhatian mendapati, biarpun penguat kuasa DBKL terbabit dibawa masuk ke dalam van manakala Unit Amal PAS yang menjaga keselamatan perhimpunan berkenaan cuba menenangkan keadaan, sekumpulan peserta masih tidak berpuas hati.
Ada antara mereka dilihat menendang dan mengetuk van berkenaan menyebabkan penguat kuasa DBKL terbabit terpaksa dibawa oleh anggota polis keluar meninggalkan kawasan berkenaan. Keadaan yang kecoh lebih 30 minit itu kembali tenang selepas mereka berjaya dibawa keluar.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam
satu kenyataan melalui Facebook rasmi PDRM berkata, keadaan perhimpunan
di Padang Merbok masih terkawal.
“Bagaimanapun berlaku kesesakan lalu lintas di ibu kota terutama di Jalan Tunku Abdul Rahman menghala Jalan Parlimen,” katanya. Dalam perkembangan lain, Naib Presiden PAS Husam Musa ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1848.
Husam dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang di Kampung Pandan
selepas mengeluarkan kenyataan mengenai ‘mati syahid’ di Kelantan
baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan terbabit.
Antara pemimpin tertinggi pakatan pembangkang yang berucap pada perhimpunan itu ialah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Datuk Seri Chua Jui Meng, Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk S Ambiga dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar.-myMetro