Washington: Sekali lagi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menjadikan dirinya sebagai bahan ketawa ketika dia menghadiri makan malam tahunan Persatuan Koresponden Rumah Putih, semalam.
Bercakap kepada hadirin, Obama bergurau mengenai rancangan radikalnya untuk penggal kedua sebagai presiden selepas memenangi pilihan raya akhir tahun lalu.
Memasuki majlis itu dengan iringan lagu rap All I Do Is Win nyanyian DJ Khaled, Obama berkata, kemenangannya ke atas Mitt Romnet membolehkan dia memperkenalkan perubahan besar-besaran dengan muncul sebagai penghias muka depan majalah Senior Leisure. “Saya bukan lagi sosialis Muslim seperti dulu,” katanya.
Obama juga berseloroh untuk mengubah imejnya dengan meniru fesyen rambut terkini Wanita Pertama AS, Michelle. Majlis dihadiri ramai bintang, termasuk pelakon, Kevin Spacey dan Claire Danes; penyanyi Korea Selatan, Psy dan penyanyi AS, Katy Perry.
Penerbit dan pengarah terkenal, Steven Spielberg turut menghadiri makan malam itu dan mengumumkan untuk mengambil pelakon Daniel Day-Lewis menjayakan filem terbarunya berjudul Obama. - AP@ myMetro