T-TEAM telah membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku
dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi
separuh masa pertama kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di
Larkin, Johor Bahru Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Jusoh ketika mengesahkan
perkara tersebut menjelaskan, pihaknya terpaksa bertindak demikian bagi
menuntut keadilan.
Dalam insiden di Larkin itu, pemain import skuad The Titans, Elvado
Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo didakwa dikasari
ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.
Insiden tersebut telah memaksa pasukan berstatus kelab itu mengambil
keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua atas faktor
keselamatan.
Ketika itu, tuan rumah, Johor Darul Takzim (JDT) sedang mendahului perlawanan 2-1.
T-Team pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana pengurus
pasukan, Rozi Mamat mahu menyerahkan kes itu kepada Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM).
Begitupun, The Titans akhirnya tampil di balai polis Kuala Terengganu
dengan memberikan kenyataan pada pukul 9.10 malam kelmarin.
Mengulas lanjut, Rasid menganggap laporan polis itu menjadi pelengkap
prosedur dalam aduan rasmi mereka yang akan dikemukakan kepada FAM
dalam masa terdekat.
"Kami tidak mahu menghantar laporan kosong kepada FAM. Saya
berpendapat laporan polis ini akan melengkapkan laporan kami kepada FAM
yang dijadualkan bermesyuarat Khamis ini.
Rasid juga mengesahkan Rodrigues dan Impagliazzo berada dalam keadaan
trauma selepas dilaporkan ditumbuk dalam insiden yang berlaku di
terowong stadium berkenaan.
Dalam laporan polis tersebut pengadu, Fabio Flor De Azevedo
menjelaskan bahawa pada kira-kira pukul 9.40 malam bertempat di terowong
menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan, tiba-tiba dia telah
didatangi seseorang yang menggugutnya.
Menurutnya, selepas itu, CEO T-Team, Abdul Rasid datang menghampirinya dan menariknya ke dalam bilik persalinan.
Akibat daripada kejadian tersebut katanya, dia merasakan keselamatan
dirinya terancam dan datang ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk
membuat laporan.
Sementara itu, polis Terengganu mengesahkan telah menerima empat
laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak pengurusan,
dua pemain import serta jurulatih kecergasan, Impagliazzo membuat
laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu antara pukul 9
malam dan 12.30 tengah malam kelmarin.
"Kami akan menyiasat dan akan memanggil serta merakamkan percakapan
saksi-saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan,"
katanya.
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula dalam satu kenyataan
media semalam menjelaskan bahawa pihaknya sedia memberi kerjasama kepada
polis bagi membantu siasatan.
FAM yang enggan mengulas insiden tersebut hanya akan mengeluarkan
kenyataan selepas mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini bagi
membincangkan insiden itu.-Kosmo