JOHOR BAHRU - Skuad Johor Darul Takzim (DT) menebus kehampaan lalu apabila menang bergaya ke atas pasukan Terengganu 3-2 pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor malam ini.
Jaringan pembukaan bagaimanapun dijaringkan terlebih dulu oleh pemain tinggi lampai dan berbisa Terengganu, Effa Owana Jean Emmanuel pada minit ke-10.
Gol Johor DT hanya hadir pada minit ke-36 menerusi penyerang sensasi Johor, Daniel Guiza yang menggegar gol lawan menerusi tendangan penalti selepas pemain Terengganu, Rosdi Talib menjatuhkan Nurul Azwan Roya dalam kotak penalti.
Guiza sekali lagi menggegar stadium yang dihadiri lebih 30,000 penonton dengan merembat masuk gol pada minit ke-45.
Memasuki babak kedua perlawanan, Johor DT membolosi gawang buat kali ketiga melalui Nurul Azwan Roya namun selang enam minit kemudian, Effa Owana menyumbat gol kedua Terengganu.
Kemenangan ini sekali gus menutup aib Johor DT akibat kekalahan memalukan 1-4 kepada skuad Selangor dalam perlawanan terdahulu di Stadium Shah Alam pada 9 Mac lalu.
Turut berkenan berangkat menyaksikan perlawanan malam ini ialah Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan anakanda-anakandanya Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dan Tunku Idris. - KOSMO!
0 comments:
Post a Comment